(dipetik daripada laman web http://karyawanluarnegara.com)
GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA (GKLN) mulai dibentuk
sekitar tahun 2005 di Dublin, Ireland, oleh sekumpulan pelajar perubatan
Malaysia yang menuntut di sana. Ketika itu GKLN dikenali sebagai Grup
Karyawan Ireland (GKI) dengan jumlah ahlinya yang terawal mencapai 20
orang sahaja. Aktiviti-aktiviti GKI lebih terfokus kepada perkongsian
karya, berita sastera, tips-tips penulisan dan kertas-kertas kerja
penulis serta pengkaji sastera yang lain yang semuanya beroperasi secara
atas talian (online).
Di samping itu GKI turut menjemput beberapa orang penulis muda dan
mapan untuk membantu membimbing ahli-ahli GKI dalam berkarya melalui
ulasan dan komentar yang diberikan secara maya, iaitu mel elektronik dan
perkhidmatan yahoomessenger. Kegiatan luar talian (offline)
GKI bermula dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland
(PPIMI) yang mengadakan bengkel penulisan bersempena program Cuti-cuti
Musim Bunga sekitar Mac-April tahun yang sama.

Selepas berakhirnya sayembara pada tahun
2005, didapati jumlah ahli GKI telah meningkat secara mendadak. Lebih
mengujakan lagi apabila terdapat banyak permohonan untuk menjadi ahli di
kalangan pelajar-pelajar luar Ireland-United Kingdom termasuklah
Australia, Rusia, Jepun, dan United States. Atas desakan
tersebut maka GKI telah diubah namanya kepada Grup Karyawan Luar Negara
(GKLN) dan keahliannya dibuka kepada pelajar-pelajar Malaysia di seluruh
dunia sehingga kini.

Pada tahun 2006, GKLN meneruskan lagi Sayembara Puisi Berunsur Islam
Ireland-UK II yang dihakimi oleh penulis muda tanah air, Nimoiz TY dan
Nasriah Abdul Salam. Pada tahun 2007-2008 pula GKLN mula memberi tumpuan
kepada penulisan cerpen melalui penganjuran Sayembara Cerpen Berunsur
Islam GKLN 2008 yang mendapat sambutan menggalakkan. Sayembara ini yang
telah dihakimi oleh Hafez Iftiqar, Rebecca Ilham, Adibah Abdullah dan
Fahd Razy serta karya-karya terpilih dimuatkan dalam antologi khas Mengemis Di Kota Larangan.
Bagi tahun 2008/2009 pula, Sayembara Puisi Berunsur Islam GKLN pula
telah diadakan yang mendapat sambutan meriah daripada ahli.

Melalui penubuhan GKLN/GKI banyak bakat penulis baru dan lama yang
berpotensi telah dapat dicungkil dan dikenal pasti, terutamanya dalam
penulisan puisi dan cerpen. Selain mendapat tempat dalam beberapa buah
sayembara, sebahagian ahli GKLN turut berjaya menembusi media cetak
tanah air. Antara yang karyanya pernah muncul di akhbar dan majalah
tempatan dan luar negara termasuklah Adibah Abdullah, Hilal Asyraf,
Ainaa Mardhiah Suhaimi, Rebecca Ilham, Alirfan Jindullah, Syafiq
Zulakifli, Nurul Lailati Mahat, Siddiq Osman, Sarah Mohd Shukor, Hazwan
Arif Haqimi, Fahd Razy, Zaki Isa, Rahman D, dan Khairil Idham Ismail.
Melalui sokongan serta penglibatan aktif para ahli, usaha
menggalakkan dan mengukuhkan kegiatan penulisan dan sastera di kalangan
pelajar luar negara diharap dapat terus giat dan bersubur, sekaligus
menyumbang kepada pengayaan khazanah sastera tanah air.
Senarai penerbitan GKLN
1) Al Andalus Menangis, antologi puisi. 2006
2) Wilayah Cinta, antologi puisi. 2007
3) Jalan Jauh ke Ramallah, antologi cerpen. 2007
4) Mengemis di Kota Larangan, antologi cerpen. 2008
5) Bahasa Bumi, antologi puisi. 2008
6) Menggeledah Nurani, kumpulan puisi. 2008
7) Badar Metropolitan, antologi puisi. 2009
Kegiatan GKLN
1) Sayembara Puisi Berunsur Islam UK-Ireland 2005
2) Sayembara Puisi Berunsur Islam UK-Ireland ke II 2006
3) Sayembara Cerpen Berunsur Islam GKLN 2008
4) Sayembara Puisi Berunsur Islam GKLN 2008/2009
5) Bengkel Penulisan bersempena program Cuti-Cuti Musim Bunga, GKLN-PPIMI, 2005
6) Bengkel Penulisan Islami atas Talian, GKLN-Adabuna, 2006.
7) Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara I, GKLN-DBP, 2007

9) Deklamasi Puisi dalam program-program anjuran persatuan pelajar termasuk PPIMI, PPIMG, dan IMAM UK-Eire.
10) Sumbangan buku di perpustakaan IPT di negara terpilih.
11) Perkongsian pengalaman bersama pelajar-pelajar Kolej MARA
Seremban (2009) berkenaan Malay A1, sastera, dan Extended Essay.
No comments:
Post a Comment